[VIDEO] PRN Melaka: PH Plus tanpa BN setakat ini

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) Melaka akan menggunakan formula PH Plus bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan kerjasama parti lain yang mempunyai aspirasi sama, namun setakat ini tidak melibatkan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pembahagian kerusi antara tiga parti komponen PH telah dimuktamadkan, manakala rundingan bagi membentuk PH Plus masih berlangsung.

“Untuk makluman semua, PH di peringkat negeri telah selesaikan pembahagian kerusi untuk tiga parti iaitu PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

“Cuma yang sekarang ini sedang kita laksanakan adalah PH Plus. Kita melalui mesyuarat Majlis Presiden sudah mengambil beberapa ketetapan untuk mengadakan perundingan dengan parti-parti yang mempunyai aspirasi sama dengan kita, terutama berkaitan isu tatakelola dan sebagainya.

“Perundingan ini sedang berterusan,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Melaka pada Sabtu.

Majlis berkenaan dirasmikan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan turut dihadiri Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar serta Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai kerjasama berkenaan, Adly berkata, rundingan dengan parti itu turut diadakan namun belum mencapai keputusan muktamad.

**media[3652302]**

Sementara itu, beliau berkata, Amanah sebelum ini diperuntukkan lapan kerusi bagi PRN Melaka, dengan empat kerusi telah dimuktamadkan untuk ditandingi parti itu iaitu Bukit Katil, Durian Tunggal, Telok Mas dan Merlimau.

“Yang selebihnya iaitu Pantai Kundor, Kuala Linggi, Sungai Rambai dan Taboh Naning masih dalam rundingan.

“Kita akan bincangkan berdasarkan kepada perbincangan PH Plus. Dalam perundingan ini memanglah kena ada tolak ansur,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka, Adly berkata, setakat ini PH belum mengadakan sebarang rundingan dengan gabungan berkenaan.

“Setakat ini kita tak ada perundingan dengan Barisan Nasional,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan gabungan itu akan menggunakan formula BN Plus bagi menghadapi PRN Melaka.

Ketua Menteri Melaka itu berkata, BN negeri terbuka mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak bagi membentuk kerjasama politik.

Pada masa sama BN Melaka mengambil pendirian tegas untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN dimenanginya pada PRN lalu.